Bekas dramatis yakin apabila penyakit suami pulih selepas amal pemakanan
Oleh
Norhaiza Hashim
TIDAK pernah terlintas dalam fikiran Ustazah Mahanie Hassan menceburi bidang perniagaan.
Tetapi, titik mulanya berlaku apabila penyakit gaut dan darah tinggi menimpa suaminya ketika mereka melancong di Pulau Tioman sehingga sebuah pesawat khas terpaksa disewa bagi membawa suaminya pulang mendapatkan rawatan segera di Hospital Changi di Singapura.
Atas galakan seorang peniaga di Malaysia, Ustazah Mahanie memberikan kapsul habbatus sauda dan kapsul minyak zaitun jenama Minsyam dari Syria kepada suaminya, Ustaz Ahmad Jelani Kiyai Johari, yang juga Imam Masjid Sultan.
'Setelah mengambil kapsul itu dari Mac hingga Julai, suami saya pulih dan dapat berjalan macam biasa tanpa tongkat. Penyakit darah tinggi beliau dapat dikawal dan kencing manis tidak ada lagi. Doktor terkejut kerana kolesterolnya juga hampir kepada paras normal,' kata Ustazah Mahanie, bekas dramatis yang kini menjadi pemilik syarikat Al Jauhar Network Promotion dan seorang guru mengaji di Al Jauhar Darul-Ulum kendalian suaminya yang terletak di 52A Bussorah Street.
Yakin dengan keberkesanan produk itu, beliau bersetuju apabila rakan memintanya menjadi pengedar rasmi dan duta produk Minsyam di Singapura. Di Malaysia, duta produk Minsyam ialah seorang lagi bekas artis terkenal filem Ali Setan, Ustaz Azmil Mustapha.
Menurut Cik Mahanie, beliau pertama kali diminta rakannya menjual produk itu ketika beliau mendalami Al-Quran dan bahasa Arab di Syria.
'Namun, hati saya tidak terbuka kerana ketika itu, tumpuan saya ialah belajar. Tetapi, ia berubah apabila suami sakit dan memutuskan untuk tidak meneruskan pelajaran di Syria bagi menjaga suami,' kata Ustazah Mahanie, yang berada di Syria bersama anak perempuannya dari 2009 hingga Disember tahun lalu.
Di Syria, habbatus sauda dan minyak zaitun itu dimakan dalam bentuk cecair tetapi rakannya menukar cecair itu dalam bentuk kapsul untuk pasaran di Malaysia. Habbatus sauda jenama Minsyam tidak dicampur dengan bahan-bahan lain dan dihasilkan di bumi Syam di Syria.
Dalam ujian dijalankan di makmal penyelidikan barah Hilton Head Island di South Carolina, Amerika Syarikat, mendapati minyak habbatus sauda menghalang pertumbuhan tumor sehingga 50 peratus dan meransang sel keimunan badan.
Ustazah Mahanie menyarankan pemakanan habbatus sauda dilengkapi dengan kapsul minyak zaitun yang kaya dengan vitamin A, B1, B2, C, D, E, K dan zat besi.
sumber:

No comments:
Post a Comment